Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Rabu, 1 April 2009

Baju hitam Harakah protes KDN

Tidak puas hati dengan penggantungan Kementerian Dalam Negeri (KDN), para wartawan Harakah digalakkan memakai baju T hitam khas dengan logo "23.3 Gantung!" sepanjang hari bekerja sebagai tanda bantahan dalam tempoh tiga bulan tindakan tersebut.

harakah gantung 310309Sebanyak 30 helai baju hitam diberikan kepada pemberita Harakah yang membuat liputan pada hari penamaan calon pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau, Ahad lalu (foto).

"Kita galakkan mereka pakai saja sepanjang tiga bulan ini, tetapi hal itu terserah kepada wartawan itu sendiri," kata satu sumber akhbar itu kepada Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, nombor 23.3 yang tercetak di atas baju tersebut merujuk 23 Mac, iaitu tarikh akhbar mula digantung.

Seni reka baju protes itu juga memuatkan imej "orang lidi" digantung, selain slogan-slogan "Bebaskan Harakah!", "Hari hitam buat media alternatif", "Hapuskan akta mesin cetak" dan "Pulihkan kebebasan akhbar di Malaysia."

Mesej bantahan yang sama turut diletakkan di ruangan iklan laman web rasmi akhbar itu Harakahdaily.net.

bebaskan harakah gantung 233 010409Ditanya mengenai kekerapan penerbitan Hujah yang menggantikan Harakah sehingga akhir Jun depan, sumber itu berkata, akhbar baru itu beroperasi seperti organ rasmi PAS, dijual setiap Isnin dan Jumaat.

"Dua kali seminggu seperti biasa. Namanya kita akan ubah. Mungkin Hujah 1, Hujah 2, dan tiba-tiba namanya (mungkin) boleh menjadi Hujah 834 atau nama-nama lain.

"Jadi, nama Hujah ini akan sentiasa berubah pada setiap kali keluaran," tambahnya.

"Mungkin selepas pilihanraya (kecil 7 April), Menang 1, Menang 2, Menang 3 dan seterusnya."

Sementara itu, bahagian pemasaran Harakah menyarankan kepada pembaca setianya agar melanggan terus dengan mereka agar tidak ketinggalan suara rasmi parti itu.

"Kalau pembaca Harakah melanggan terus dengan kita, senanglah sikit kerana kita boleh terus hantar kepada pelanggan walaupun ada banyak perubahan nama.

"Jadi, jika pembaca berasa keliru dengan Hujah yang bertukar nama setiap keluaran itu, mereka boleh hubungi kita dan kita akan terus menjelaskan kekeliruan mereka berhubung hal itu," kata seorang kakitangan yang enggan dikenali.

Nuffnang