Bersih 3.0 284

Bersih 3.0 284
#DataranMerdeka

Sabtu, 22 Mac 2008

Ke arah Selangor yang "baru"



Dipetik dari Roslan SMS Corner

Saya percaya ramai yang sedang menunggu-nunggu pembentukan kerajaan baru Barisan Rakyat di negeri Selangor. Setelah MB barunya, Tan Sri Khalid Ibrahim mengangkat sumpah baru-baru ini, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Selangor (EXCO) dijangka mengangkat sumpah pula di hadapan Tuanku Sultan Selangor Isnin ini.

Selangor menarik perhatian kerana politik berbilang kaum Malaysia benar-benar didicerminkan melalui negeri ini. Di Selangor nisbah pengundi Melayu dan bukan Melayunya hampir seimbang iaitu kira-kira 52% pengundi Melayu. Selama ini rakyat hanya mengenali kepimpinan berbilang kaum yang ditegakkan oleh BN (dahulunya Perikatan), dan kepimpinan itu telah mereka tolak di Selangor dalam pilihan raya baru-baru ini atas pelbagai alasan, lalu sudah pastilah mereka tidak sabar mahu melihat bagaimana pula rupa kepimpinan baru yang bakal dilahirkan oleh kerajaan baru Barisan Rakyat Selangor.

Dengan takdir Allah swt, parti-parti alternatif memenangi majoriti kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor bagi membentuk kerajaan yang baru. PKR 15, DAP 13 dan PAS 8 iaitu dengan 36 kerusi berbanding 20 kerusi BN (18 Umno dan 2 MCA).

Teraju kepimpinan Tanm Sri Khalid kiranya berupaya menyatukan ketiga-tga parti ini dalam muafakat politik yang meletakkan kepentingan dan nasib rakyat mengatasi kepentingan mana-mana satu parti, sudah pastilah akan terus-menerus dihormati dan diterima rakyat negeri ini. Tambah-tambah lagi kiranya pentadbiran kerajaan yang baru ini nanti benar-benar membela rakyat dan memberikan manfaat kepada mereka.

Di Selangorlah PKR, DAP dan PAS diuji sejauh mana mereka mampu bekerjasama demi kepentingan Raja, rakyat dan negeri. Kiranya mereka berjaya maka mereka nanti akan menjadi model kepada politik baru Malaysia yang bakal mewarnai kita untuk tahun-tahun mendatang. Saya menerima maklumat rintangan pertama iaitu membentuk sebuah kerajaan campuran yang boleh diterima ketiga-tiga pihak telah pun berjaya dilaksanakan.

Dalam kabinet negeri (EXCO) nanti dari 10 kerusi (tidak termasuk MB) PKR akan menerima 4 kerusi, DAP 3 dan PAS 3. Perwakilannya menurut kaum adalah 5 Melayu (2 dari PKR dan 3 PAS) serta 5 bukan Melayu (iaitu 2 dari PKR dan 3 DAP). Kehadiran MB memastikan yang kedudukan mukatamadnya adalah 6 Melayu/Islam dan 5 bukan Melayu/bukan Islam.
Pembentukan kerajaan baru ini menarik dan rintangan seterusnya adalah bagi mentadir negeri ini melalui permuafakatan ketiga-tiga parti. Mudah-mudahan semuanya dapat berjalan lancar.

Gandingan Tan Sri Khalid, Dato Dr Hasan Ali, Theresa Kok dan Ronnie Liu nanti akan menjadi perhatian bukan hanya di Selangor malah seluruh Malaysia dan dunia.

Mudah-mudahan mereka terus dapat bekerja bersama dan menjayakan agenda perjuangan Barisan Rakyat dengan harapan mereka akan terus diterima rakyat dan kekal menerajui Selangor sampai bila-bila. Yang pentingnya semua pihak mesti bertolak-ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain. Hapuskan rasuah, nepotisma, kronisma dan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan. Ayuh rakyat Selangor sedang menantikan kepimpinan anda!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kalau dah menang di Selangor baguslah. Bila lagi nak tutup kilang-kilang arak di Selangor?

Sebelum pilihanraya PAS marah sangat dengan kilang-kialng arak tu. Sekarang masa untuk tutup.

Tokngah

Nuffnang